Ahad, 3 April 2022

SEORANG GURU WANITA RUGI RM254,600 AKIBAT TERPEDAYA SINDIKET MACAU SCAM


4 April 2022, Isnin

SIPITANG: Seorang wanita berusia 30 tahun terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwa ‘pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis’ mengakibatkan kerugian sebanyak RM254,600.

Mangsa berkenaan diperdaya sindiket Macau Scam sehingga melakukan transaksi kepada enam akaun bank berlainan sejak 14 hingga 26 Mac lalu.

Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, guru wanita itu adalah mangsa terbaharu sindiket Macau Scam selepas dua kes dilaporkan sebelum ini yang melibatkan kakitangan pendidikan dan kesihatan.

Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai LHDN pada 14 Mac lalu.

Pemanggil memaklumkan nama mangsa didaftarkan ke atas sebuah syarikat yang mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90.

Walaupun pada mulanya mangsa sangsi dengan panggilan tersebut namun, mangsa menjadi cemas apabila panggilan disambungkan kepada seroang ‘anggota polis’ berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.

“Anggota polis itu memaklumkan terdapat satu akaun bank berkaitan dana haram bernilai RM312,000 milik syarikat atas nama mangsa dan mangsa diarahkan untuk mendedahkan maklumat perbankan bagi tujuan siasatan oleh bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Cemas dengan situasi itu, mangsa yang terpedaya dengan sindiket tersebut bertindak memindahkan wang ke dalam enam akaun bank berbeza sejak 14 hingga 26 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Katanya, mangsa hanya menyedari tertipu pada 30 Mac lalu dan terus membuat laporan polis pada keesokan harinya, kira-kira pukul 12.42 tengah hari kerana bimbang maklumat perbankan serta identitinya disalah guna.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Champin menasihatkan orang ramai agar melakukan semakan nombor telefon daripada individu tidak dikenali dengan pihak polis untuk mendapatkan kepastian bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

“Jangan mudah terpedaya dan melayan panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali dan menyamar sebagai kakitangan LHDN, polis, mahkamah dan sebagainya,” katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...