Isnin, 21 Mac 2022

SABAH CATAT KES KEBANKRAPAN YANG RENDAH BERBANDING NEGERI LAIN


KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI), Datuk Anita bersama rombongannya telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, sini kelmarin. 

Kunjungan itu bertujuan untuk memaklumkan bahawa Sabah mencatat jumlah kes kebankrapan yang rendah berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, Sabah merekodkan lebih kurang 12,000 kes kebankrapan berbanding kes di seluruh Malaysia yang berjumlah lebih kurang 294,000 kes.

“Kebanyakan kebankrapan di negeri ini melibatkan golongan lelaki berumur 40 tahun ke atas dan sebab utama kebankrapan adalah hutang pinjaman peribadi,”

Sehubungan itu, Anita menyeru individu bankrap agar hadir ke pejabat cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mencari penyelesaian.

"Mana-mana individu bankrap untuk datang ke pejabat cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia dan kita akan cuba membantu mencari penyelesaian kes kebankrapan,” ujarnya. 

Selain daripada itu, kunjungan itu juga  bertujuan untuk menerangkan transformasi kerangka perundangan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) terutamanya pada masa pandemik COVID-19 berhubung dengan nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan yang dinaikkan daripada RM50 ribu kepada RM100 ribu.

“Penambahbaikan ini telah berkuatkuasa lebih kurang setahun dan setakat ini kes kebankrapan adalah kurang disebabkan tempoh moratorium yang panjang diberikan ketika pandemik,” jelas beliau.

Turut hadir, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Sri Ramli Yusuff, Pengarah Insolvensi Negeri Sabah, Mohd Nazri Omran, Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah Insolvensi, Siti Noor Harlina Ab Malek dan Pegawai Insolvensi, Rezuanlly Asmari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...