Isnin, 21 Mac 2022

PENDUDUK SABAH TIDAK SETUJU DENGAN KAD PENGENALAN WARGA ASING - CHRISTINA


21 Mac 2022, Isnin 

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Datuk Christina Liew dan mewakili DUN N.20 Api-api menyatakan bahawa ramai dalam kalangan penduduk orang Sabah tidak bersetuju berkaitan dengan cadangan mengeluarkan kad pengenalan warga asing kepada pendatang yang sudah lama menetap di negeri ini.

Menurutnya, ramai kanak-kanak imigran ini kini berkeliaran di jalanan mengemis dan mengganggu pengunjung serta penduduk tempatan untuk mendapatkan makanan atau wang. 

"Ada yang dilihat sedang menyelongkar tong sampah di Bandaraya Kota Kinabalu serta di kawasan perumahan di Luyang," 
Christina berkata semasa dalam perbahasan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 hari ini.

“Kad khas ini dikhuatiri akan membuka jalan kepada warga asing itu untuk memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia pada masa hadapan.”

Susulan dalam perkara itu, semua pihak berkepentingan perlu ada kemahuan politik untuk mematuhi keputusan atau melaksanakan cadangan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warganegara Asing.

Selain daripada itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah yang ditubuhkan pada 2012 telah gagal menyelesaikan masalah itu kerana kekurangan kemahuan politik untuk bertindak mengikut pelbagai cadangan dalam RCI berkenaan.
 
"Dalam pada itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan agar kerajaan negeri diberi autonomi sepenuhnya untuk mengendalikan dan menangani isu ini yang menjadi 'duri dalam daging' bagi orang Sabah sejak 1970.

"Hanya dengan cara ini Sabah akan dapat menyelesaikan masalah ini untuk selamanya. Sudah tiba masanya kita membuang 'duri' ini. Mengapakah kita tidak boleh menyelesaikan isu ini selepas 50 tahun?," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warganegara Asing yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima, Dr Jeffrey Kitingan mesti diberi kuasa untuk berurusan secara khusus dengan semua pihak berkepentingan, bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dalam mencari penyelesaian secara tuntas (termasuk penghantaran pulang PTI Indonesia dan Filipina).

Christina berkata, untuk menjadi inklusif, mesti sertakan perwakilan dalam Jawatankuasa Khas ini daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Konsulat-Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan badan-badan lain yang berkaitan dengan warga asing yang lain.

"Selama bertahun-tahun, Sabah telah mendesak supaya Pejabat Konsular Filipina dibuka di Kota Kinabalu tetapi tidak berjaya. Kedua-dua Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan ketika itu telah berusaha untuk memujuk Filipina supaya menubuhkan sebuah konsulat di Sabah.”

"Memandangkan Pejabat Konsulat tidak boleh ditubuhkan di Sabah (disebabkan Tuntutan Sabah), kami berharap kerajaan Sabah akan meneruskan usaha untuk menubuhkan Pusat Pemudah cara Pasport Filipina yang dicadangkan di Sabah.

Katanya, terdapat kira-kira sejuta warga Filipina di Sabah dipercayai tidak mempunyai pasport atau tidak memperbaharui pasport kerana terlalu mahal untuk mereka pergi ke Kuala Lumpur bagi tujuan memohon atau memperbaharui dokumen tersebut.

"Saya berpandangan bahawa pembangkang juga mesti menganggotai Panel Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warganegara Asing untuk memberikan input serta mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan,"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...