Sabtu, 26 Mac 2022

Pendigitalan mempunyai permintaan tinggi bagi pekerja berkemahiran

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan jaringan ekonomi digital di bandar dan luar bandar Sabah berikutan Revolusi Industri 4.0.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 telah mengubah sebahagian besar landskap pasaran buruh di serata dunia, termasuklah di Sabah. 
Beliau berkata, adaptasi kepada peralihan teknologi dijangka akan lebih cepat berlaku pasca COVID-19, dengan permintaan pekerjaan berfokuskan tenaga buruh dijangka menurun pada masa hadapan berikutan peningkatan permintaan untuk pekerjaan yang menjurus kepada penggunaan teknologi dan kemahiran baharu.
“Di Sabah sendiri, pelbagai industri ingin memanfaatkan perkembangan pasaran digital dan transformasi pendigitalan ini juga telah mempunyai permintaan yang tinggi bagi pekerja yang mempunyai kemahiran digital.
"Landskap pekerjaan masa hadapan juga bersifat tanpa sempadan dan ini memberi peluang mengatasi masalah fizikal, sosial dan geografi. 
“Dengan perubahan tersebut, menyebabkan kerajaan Sabah kini dalam usaha memperkasakan jaringan ekonomi digital di bandar dan di luar bandar dengan pelaksanaan kerangka strategi serta pelan tindakan telah dirancang dan dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-22 bagi graduan yang tamat pengajian pada tahun 2020 di Dewan Canselor UMS, hari ini.
Hajiji yang juga Pro Canselor universiti itu berkata, UMS telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Sabah untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan Sabah yang bertindak sebagai penggerak utama untuk membolehkan aktiviti pembangunan pendidikan dan teknologi dilaksanakan secara holistik, bagi menyokong sektor ekonomi digital. 
“Antaranya melibatkan aktiviti berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik), makmal pembelajaran STEM adalah inisiatif kerajaan negeri, yang berperanan menerokai dan melakukan penyelidikan ke atas polar digital baharu untuk menyokong kerancakkan pembangunan ekonomi digital di negeri ini.
“Pengukuhan program akademik STEM dan juga pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal & Latihan (TVET) adalah langkah yang amat wajar kerana kedua-dua bidang ini akan membantu negara dalam membentuk modal insan ke arah pembentukan teknologi baru agar para graduan mampu menangani cabaran Revolusi Industri 4.0," tegasnya.
Hajiji berkata, sejajar dengan Pelan Pembangunan 2021-2025 Sabah Maju Jaya, UMS telah pun membekalkan graduan dengan kemahiran dan nilai-nilai murni yang hebat sebagai bekalan menghadapi realiti pekerjaan dan persekitaran masyarakat kreatif masa kini. 
Menurutnya, graduan dituntut agar dapat menyumbang tenaga atau sekurangkurangnya idea yang dapat memberi kesan positif kepada masyarakat, pembangunan negeri dan negara. 
Kita amat mengharapkan graduan sebagai pewaris kepimpinan negara, peneraju ekonomi, pencipta ilmu dan teknologi, ejen perpaduan, pembangunan dan pembekal kepada modal insan bagi sektor awam dan swasta.
"Graduan perlu membawa perubahan positif untuk bangsa dan negara Malaysia tercinta ini," katanya.
Beliau berkata, pendidikan di universiti merupakan alat transformasi bagi menyediakan solusi terhadap kepelbagaian masalah semasa yang melanda masyarakat. 
Justeru menurutnya, pihak universiti perlu berterusan memainkan peranan pro-aktif sebagai wadah yang memikirkan, memperkenal dan melaksanakan pelbagai usaha terarah, melalui program pemindahan ilmu serta keterlibatan para graduan dalam aktiviti pembangunan komuniti.
Hajiji menegaskan, para graduan perlu bersaing, menerampilkan diri kepada dunia pekerjaan dan mendidik diri untuk berusaha sebaik mungkin kerana menamatkan pengajian di universiti bukan hentian terakhir dalam menuntut ilmu. 
“Dalam dunia realiti, ijazah bukan satu jaminan. Perjalanan untuk menimba ilmu tiada noktahnya kerana pembelajaran adalah proses yang berterusan.
"Graduan haruslah berfikiran terbuka dalam mempelajari sesuatu yang baharu di luar sana, khususnya berkaitan kemahiran. 
“Selain ilmu yang menjadi bekalan hidup untuk membina kecemerlangan kerjaya, para graduan juga mesti mempelajari kemahiran insaniah yang kritikal, pandai menyesuaikan diri, menonjol, dinamik, proaktif dan harus berani meneroka setiap peluang yang ada," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...