Sabtu, 26 Mac 2022

Justin, Calvin sertai WARISAN

KOTA KINABALU: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang kini Bebas akhirnya sertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).
ADUN Sri Tanjong Justin Wong dan ADUN Elopura Calvin Chong menyerahkan borang penyertaan kepada Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini.
Shafie berkata, penyertaan mereka ke dalam WARISAN adalah satu usaha menguatkan lagi parti di peringkat akar umbi khususnya di Tawau dan Sandakan.
"Pada bulan satu mereka keluar DAP dan hari ini setelah bertemu dengan saya, mereka ingin menyertai WARISAN.
"Antara sebab mereka adalah WARISAN ialah parti tempatan dan mereka dahulu juga tanding dibawah lambang WARISAN," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu dilihat baik kerana WARISAN bukan parti kerajaan, bukan ada landasan menawarkan projek atau kewangan.
Katanya, sebaliknya mereka mahu memperluangkan hak rakyat Sabah dan WARISAN dilihat platform yang tepat.
"Kita mahu membina sebuah negara makmur, kuatkan semangat kekitaan dan pada masa yang sama hak Sabah diperingkat negeri diperjuangkan.
"Inilah antara sebab mereka menyertai WARISAN. Mereka juga sedar sokongan rakyat terhadap parti mereka dahulu semakin berkurangan dan perkara membimbangkan diperingkat awal adalah dari segi perjuangan hak kepentingan orang Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Shafie sekali lagi menjelaskan pihaknya sedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti tempatan dalam usaha memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam satu platform yang besar.
Katanya, perkara itu sudah dinyatakan sejak kekalahan pada Pilihan Raya Negeri Sabah dahulu.
"Semua tahu bahawa Sabah sebuah negeri kaya tetapi rakyatnya miskin dan mengalami kemunduran dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, kesihatan dan pendidikan serta banyak lagi.
"Mereka di sana sudah lama dalam Barisan Nasional juga bersama dalam Perikatan Nasional tetapi Sabah tetap ketinggalan berbanding negeri lain di Malaysia, walaupun kaya dengan sumber alam," katanya.
Dalam pada itu, Shafie berkata, kekalahan PRN Johor bukan penghalang parti itu melebarkan lagi Sayap perjuangan di Semenanjung Malaysia.
Shafie yakin pada Pilihan Raya Umum nanti, keadaannya berbeza daripada PRN.
"Saya di Johor turun padang berjumpa rakyat, mendapatkan maklumat berkaitan dan maklumat yang diperolehi ini sangat penting ke arah PRU nanti.
"Kita tahu bukan mudah untuk kita menang, tetapi di Johor kita hanya berada di sana kurang dari sebulan.
"PKR dan DAP pun perlu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan Kerusi Parlimen dan DUN di Sabah. PAS sudah berpuluh tahun tanding di Sabah tetapi tak pernah menang," katanya.
Katanya, pada PRU akan datang WARISAN tidak akan menurunkan Calon dibeberapa negeri memandangkan kapasiti yang terbatas.
"Tetapi kita hanya mahu bagi pilihan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...