Sabtu, 19 Mac 2022

Kerajaan negeri pegang 30 peratus kepentingan pelaburan bernilai RM400 jutaMac 19, 2022

BELURAN: Kerajaan negeri akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam projek perladangan dan kilang pengeluaran berasaskan kelapa bernilai RM400 juta yang dibangunkan oleh Linaco Resources Sdn Bhd di Paitan.
 
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaburan dibawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) itu membolehkan kerajaan menyediakan kawasan tapak seluas 2,000 hektar untuk projek berimpak tinggi berkenaan.
Katanya, projek berkenaan juga dijangka akan menyumbangkan sejumlah RM1.2 bilion pendapatan tahunan kepada ekonomi Sabah.
Selain itu katanya, Linaco juga akan mendirikan kemudahan infrastruktur untuk projek berkenaan yang dijangka akan menyediakan sebanyak 4,400 peluang pekerjaan apabila ia mula beroperasi sepenuhnya pada 2026.
Berucap ketika di majlis pelancaran di tapak perladangan itu hari ini, Hajiji gembira bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai diantara kerajaan negeri dan Linaco Resources Sdn Bhd untuk membangunkan industri produk berasaskan kelapa Mac tahun lalu kini bakal menjadi kenyataan.
Linaco Resources akan melabur sejumlah RM200 juta untuk pembangunan penanam kelapa keberhasilan tinggi dan RM200 juta lagi untuk fasiliti pengeluaran produk berasaskan kelapa.
TANAM: Hajiji menanam pokok kelapa sebagai tanda pelancaran projek di Paitan.
"Projek RM400 juta ini sudah pasti akan mewujudkan impak besar, dengan jangkaan RM1.5 bilion pendapatan setiap tahun.
"Limpahan ekonomi ini sudah pasti akan menukar landskap Paitan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitarnya," katanya.
Hajiji memberikan jaminan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membawa agenda pembangunan untuk memakmurkan Sabah dan rakyat secara keseluruhannya.
"Oleh itu, sejumlah RM561.81 juta telah diperuntukkan untuk sektor pertanian yang merupakan salah satu teras SMJ pada Bajet Negeri tahun ini," katanya.
Katanya, 29 Mac 2022 akan menandakan ulang tahun pertama Hala Tuju SMJ walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19.
Menurutnya, kerajaan negeri kini akan terus komited mencari pelabur dan terbukti sudah berjaya membawa tiga pelaburan mega termasuk Linaco ke Sabah. 
Hajiji berkata, dua pelaburan mega dibawah inisiatif SMJ adalah kilang produk kerajang tembaga SK Nexilis dan kilang pembuatan Kibing Group Solar Glass di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) kini dalam landasan positif perkembangan.
"Saya sangat berpuas hati dan gembira dengan perkembangan terbaharu terhadap projek-projek ini. Ini adalah hasil daripada kerja keras kerajaan negeri sejak tahun lalu dan kini sudah mula membuahkan hasil.
"Kita akan bekerja lebih keras untuk menarik pelabur ke Sabah dan kerajaan GRS sudah mempunyai beberapa kejayaan penting yang telah dicapai," katanya.
Katanya, pada Sabah International Business and Economic (SIBES) 2022 summit Januari lepas, acara berkenaan telah menjadi pemangkin bukan sahaja dalam kalangan pelabur tempatan tetapi juga antarabangsa yang berminat datang ke Sabah sebagai pelabur.
"Masih banyak kerja perlu dilakukan untuk memulihkan ekonomi, saya yakin kita akan berjaya membawa kemakmuran ekonomi kepada Sabah dan rakyat sekiranya kita kekal bersatu dibawah satu agenda pembangunan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...