Rabu, 23 Mac 2022

KEMBALIKAN LABUAN KEPADA SABAH

22/03/2022 

KOTA KINABALU: Sabah dicadang memulakan rundingan dengan Kerajaan Pusat untuk mengambil semula Pulau Labuan bagi mengembalikan persempadanan asal negeri ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Cadangan itu dibahas bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Bolehkah dibuat? Boleh. Banyak cara,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata, pengembalian Labuan kepada Sabah perlu selepas penyerahan pulau itu pada 1984 sebagai Wilayah Persekutuan kedua selepas Kuala Lumpur, gagal mencapai matlamat digariskan melalui persetujuan kerajaan Sabah ketika itu.

“Ada lima matlamat penyerahan Labuan kepada Persekutuan iaitu untuk integrasi, keselamatan, mempercepatkan pembangunan, sebagai pusat persidangan antarabangsa dan pusat perniagaan, semua gagal. 5 matlamat itu yang dijanjikan kepada orang Labuan, semua gagal.

“Sekiranya jambatan Labuan-Sabah nanti menjadi kenyataan, kita masih perlu melalui pos Imigresen di Menumbok untuk melalui jambatan itu ke Labuan, jadi ada baiknya Labuan dikembalikan kepada Sabah supaya jadi macam dulu,” katanya.

Beliau berkata, penyerahan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan kira-kira 38 tahun lalu berlaku selepas DUN Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan negeri pada 8 Mac 1984.

Katanya, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh adalah individu yang bertanggungjawab merealisasikan penyerahan Labuan melalui siri perbincangan dengan Kerajaan Pusat pada masa itu.

“Tan Sri Harris dulu adalah orang yang mahu Labuan diserahkan kepada Persekutuan. Hari ini Tan Sri Harris sendiri mahu Labuan dikembalikan kepada Sabah.

“Saya tahu Kerajaan Persekutuan tidak terus bersetuju kalau kita tuntut Labuan dikembalikan kepada Sabah sekarang, tetapi kita boleh buka jalan. Tuntutan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga selepas 12 tahun barulah diberi perhatian,” katanya.

Sehubungan itu, Yong meminta supaya cadangan berkenaan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri, sebagai legasi kepada generasi Sabah akan datang.

Katanya, kertas kerja mengenai prosedur penyerahan Labuan kepada Sabah, telah siap. Sehubungan itu beliau meminta perkara itu dibincangkan di peringkat kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Parlimen dan Majlis Raja-Raja kerana melibatkan persempadanan semula.

Beliau turut menyuarakan cadangan supaya kerajaan negeri menggubal enakmen Kad Pengenalan Sabah atau ‘Sabah IC’ untuk membenarkan penggunaan dokumen pengenalan khas rakyat yang lahir atau berasal dari Sabah.

Katanya, dokumen itu bagi membezakan pemegang Mykad dari negeri lain yang dikeluarkan Kerajaan Pusat ketika ini, selain memberi kelebihan kepada pemegangnya untuk menikmati semua keistimewaan sebagai rakyat Sabah.

Katanya Sabah tidak mempunyai kuasa memberikan Kad Pengenalan kepada orang asing.

“Kita hanya ada kuasa berikan Kad Pengenalan kepada rakyat Malaysia penduduk tetap di Sabah…Dia serupa dengan Kad Residensi tetapi lebih dari itu. Di negeri-negeri Amerika Syarikat, dia ada Kad sendiri. Di China, ada kad residensi. Kalau dia bukan dari provinsi itu, dia tidak akan menikmati kemudahan pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Sekiranya Kad Pengenalan Sabah dikeluarkan, ini Mykad to prove i am Malaysian. Tapi untuk masuk Sabah, memohon tanah, menjadi pegawai kerajaan Sabah…(dan pelbagai keistimewaan lain), mesti ada juga Sabah IC….dia boleh jadi orang Malaysia tetapi bukan orang Sabah sehingga kerajaan negeri menerima dia sebagai orang Sabah,” jelasnya.

Katanya pengeluaran Kad Pengenalan Sabah tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang negara.

“Samada Kad Pengenalan Sabah bercanggah dengan undang-undang negara? Dimana pengeluaran Mykad ini adalah dibawah bidang kuasa Persekutuan dan bukan negeri, yang disebut itu Akta Pendaftaran 1959.

“Kita sudah kaji ini dan Sabah IC tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Malaysia… Sabah IC adalah langkah ke hadapan (a way forward),” katanya.

Menurutnya, sekiranya 2 perkara yang dibawanya itu, iaitu Sabah IC dan penyerahan semula Labuan kepada Sabah, menjadi kenyataan, sidang DUN Sabah kali ini akan menjadi legasi terbaik dan teristimewa untuk rakyat Sabah.

“IC Sabah dan Labuan memerlukan kerjasama semua penduduk Sabah dan ADUN Sabah tanpa mengira ADUN kerajaan atau ADUN pembangkang, agar ia menjadi kenyataan, kerana ini bukan politik, ini bukan parti, namun ini menjadi satu legasi kepada rakyat Sabah,” katanya..

Yong turut memohon laporan siasatan tragedi Double Six yang kini dalam simpanan Kerajaan Australia, diberikan kepada kerajaan dan keluarga mangsa.

Pendedahan laporan berkenaan kepada umum adalah bagi merungkai segala persoalan, tanda tanya dan keraguan berhubung nahas pesawat Nomad yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976.

Tragedi itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephens bersama 3 Menteri Kabinet Sabah, seorang pembantu menteri dan 6 yang lain.

Namun menurut Yong, jawapan diberikan Kerajaan Australia pada 14 Mac 2012 antara lain mengatakan laporan siasatan nahas itu tidak boleh didedahkan bagi menjaga hubungan baik Malaysia dan Australia di dalam Komanwel.

Ini sebagai satu bentuk penutupan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat buatan Australia itu, hampir 46 tahun lalu.

“Apa yang berlaku pada 6 Jun 1976 yang menyebabkan pesawat Nomad itu terhempas sehingga mengorbankan separuh daripada anggota kabinet Sabah?,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...