Khamis, 3 Mac 2022

Cubaan sogok anggota PGA, 'ketua rombongan' bawa 47 warga asing ditahan

Cubaan sogok anggota PGA, 'ketua rombongan' bawa 47 warga asing ditahan


Rombongan berkenaan disertai keseluruhan 53 penumpang dan pemandu yang berusia empat hingga 80 tahun. -Gambar ihsan PGA

KALABAKAN: Seorang lelaki dipercayai 'ketua rombongan' membabitkan tujuh kenderaan yang membawa puluhan warga asing ditahan selepas cuba memberi sogokan kepada petugas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP), di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 52 tahun terbabit dikatakan cuba memberi wang sebanyak RM1,650 dipercayai sebagai dorongan untuk pihak berkuasa melepaskan mereka.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati rombongan berkenaan disertai 53 penumpang dan pemandu berusia di antara empat dan 80 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut berjaya mengesan seramai 26 individu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala 21 warga asing memiliki pasport selain enam adalah warganegara Malaysia.
“Hasil soal siasat mendapati semua individu terbabit dipercayai ingin pulang ke Indonesia selepas kontrak pekerja di sebuah ladang getah, di sini, tamat.
“Semua suspek dipercayai bergerak dari Kuala Penyu menghala ke Tawau mengikut Jalan Sapulut-Kalabakan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.
Abdul Rani berkata semua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis turut melakukan rampasan terhadap semua barangan dibawa tujuh kenderaan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM487,650.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...