Rabu, 16 Februari 2022

3 Bulan Kumpul Input Selesai Isu Warga Asing Tanpa Dokumen

KOTA KINABALU: Tiga bulan ditetapkan untuk Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warga Asing di Sabah mengumpul cadangan dan input bagi menyelesaikan isu warga asing tanpa dokumen di negeri ini.

Tempoh itu ditetapkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selaku pengerusi yang dilantik kerajaan negeri bagi mengetuai jawatankuasa baru diwujudkan itu.

"Saya menetapkan tempoh tiga bulan bermula hari ini untuk membentangkan kertas kerja berhubung isu itu kepada Kabinet negeri dan berharap hasilnya nanti dapat diterima semua pihak, khususnya rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jawatankuasa berkenaan ditugaskan mengumpul cadangan atau input daripada agensi penguat kuasa, industri, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat mengenai pendekatan terbaik menangani isu pekerja asing tanpa dokumen di Sabah.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata kerajaan Pusat dan negeri sememangnya bersetuju bahawa pendatang asing tanpa izin (PATI) mesti didakwa dan dihantar pulang ke negara asal dengan segera.

"Ketika ini kita tidak tahu jumlah sebenar PATI di Sabah yang mengambil alih pekerjaan yang rakyat tempatan tidak berminat. Mereka hilang daripada dikesan, kita tidak tahu di mana mereka berada, siapa mereka atau apa mereka buat. Jika kita tidak dimaklumkan aktiviti mereka, ia mendedahkan rakyat kita kepada ancaman keselamatan, selain bahaya kesihatan," katanya.

Sebagai pengerusi jawatankuasa baharu itu, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua agensi penguat kuasa, majikan yang menggajikan pekerja asing dan pemimpin politik, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang serta pemimpin masyarakat.

Katanya, selepas pertemuan itu selesai dan semua data dikumpul, jawatankuasa berkenaan akan membentangkan satu kertas kerja kepada Kabinet untuk dibincangkan lebih lanjut dan berharap penyelesaian kepada masalah itu dapat dikenal pasti.

"Saya percaya kita dapat mencari penyelesaian terbaik terhadap situasi ini selepas perbincangan mendalam dengan semua pihak berkepentingan," katanya.

Isu warga asing di Sabah hangat semula berikutan cadangan Kad Warga Asing disuarakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengundang pelbagai reaksi dengan kebanyakannya membantah cadangan berkenaan, malah Jeffrey sendiri sebelum ini menyatakan cadangan itu tidak akan menyelesaikan masalah yang berlarutan sekian lama itu.

Keseluruhannya:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/923449/3-bulan-kumpul-input-selesai-isu-warga-asing-tanpa-dokumen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...