Ahad, 29 Januari 2023

GRS terus perjuangkan pelaksanaan hak, kepentingan Sabah dalam MA63 – Hajiji

GRS terus perjuangkan pelaksanaan hak, kepentingan Sabah dalam MA63 – Hajiji

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus perjuangkan, bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia penting kerana perlu membina pemahaman dan membentuk penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat persekutuan mengenai MA63.


Justeru itu katanya, semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Kuching, Sarawak pada 20 Januari 2023 lalu, beliau bertegas membawa beberapa isu untuk dibincang.


“Isu seperti rundingan susulan berkaitan formula dan semakan Pemberian Khas serta tuntutan 40% dibawah Perkara 112.D dapat disegerakan.


“Juga Hak Negeri Atas Pelantar Benua dan Akta Laut Wilayah 2012 yang kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk menolak, yang membatas sempadan Sabah kepada 3 batu Nautika,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Maju Sabah (SAPP) Ke-29 di sini hari ini.


Katanya, pelaksanaan agenda Sayangi Sabah akan terus diperkukuhkan melalui empat teras perjuangan GRS yang meliputi –Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).


Menurutnya, beberapa kejayaan sudah dicapai termasuk yang terbaharu ialah penyerahan kuasa kawal selia gas oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.


“Ini termasuk penyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta peruntukan kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, manakala banyak lagi hak-hak Sabah yang sedang kita perjuangkan ketika ini,” tambahnya.


“Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai salah satu agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia.


“Saya berasa gembira apabila dalam beberapa pertemuan dengan Perdana Menteri, beliau memberi jaminan untuk meneliti semua isu-isu ini untuk mencari penyelesaian segera,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...