Selasa, 25 Oktober 2022

PRU-15: KDM UMUM CALON DI KIMANIS DAN SEPANGGAR

PRU-15: KDM UMUM CALON DI KIMANIS DAN SEPANGGAR
Penampang: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan dua orang calon yang bakal bertanding di Kimanis dan Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, berkata pesara pegawai kerajaan, Amat Md Yusof, 63, bakal bertanding di Kimanis manakala Jumardie Lukman, 40, ahli politik muda dan bekas setiausaha sulit Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah pula diumumkan sebagai calon di Parlimen Sepanggar.

Dalam satu sidang media sebelum ini, Peter mengumumkan dua orang calon iaitu Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong yang bertanding di Parlimen Kota Kinabalu dan Datuk Wetrom Bahanda di Kota Marudu.

Katanya, pihaknya akan mengumumkan lagi baki calon namun belum memutuskan sama ada akan diumumkan pada program di Tenom Sabtu ini atau beberapa hari sebelum penamaan calon.

Menurutnya, pengumuman calon dari KDM dibuat secara berperingkat kerana pihaknya menerima banyak permohonan termasuk dari pemimpin tempatan berpengalaman untuk menyertai parti terbabit.

"Di peringkat parti, kita mempunyai jawatankuasa penapisan calon jadi sebab itu kenapa kita buat secara berperingkat dan calon yang masih perlu diperhalusi (kriteria kelayakan calon) sebelum kita akan umumkan.

"PRU-15 ini berbeza dengan yang lalu. Bukan saja mereka (rakyat) akan menilai sesebuah parti tetapi mereka akan lihat latar belakang calon.

"Sama ada calon yang kita turunkan sama ada mereka ini calon berpotensi atau tidak, inilah yang akan dinilai oleh pengundi nanti.

"Bertanding di empat atau lima penjuru itu tidak ada masalah yang penting calon yang kita turunkan ini berpotensi memberi cabaran kepada parti bertanding di tempat tertentu," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau berkata, partinya menyokong mana-mana pihak yang membentuk kerajaan.

"Dasar perjuangan dan matlamat parti ini sejak kita tubuhkan adalah sebuah parti yang menghormati dan menyokong kerajaan hari ini yang mentadbir sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan," katanya.

Ditanya pemberita mengenai status KDM berhubung kedudukan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan berkenaan permohonan menyertai gabungan terbabit.

"Politik ini akan berubah, dinamik akan berubah jadi mungkin mereka (GRS) memerlukan masa untuk mempertimbangkan kedudukan kami, mungkin selepas PRU-15," katanya.

Sumber My Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...