Selasa, 22 Mac 2022

SLOGAN SABAH MAJU JAYA PERLU DIHORMATI – FAIRUZ

 
23 Mac 2022, Rabu
 
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan meminta semua pihak untuk terus menghormati dan menyanjung tinggi slogan ‘Sabah Maju Jaya’.

“Slogan ini sudah sebati dengan kita sebagai rakyat Sabah, slogan ini bukan semata-mata sebuah kata-kata, tetapi ini adalah perjuangan kita untuk negeri Sabah, kita ingin Sabah terus maju dan menempa kejayaan.

“Kita sedar memang dua tahun kebelakangan ini adalah tahun paling sukar buat semua kerana COVID19 hadir tanpa kita duga, sekaligus meragut keharmonian ekonomi dan rakyat kita, hampir secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perbahasan semasa Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kali ke-16, di sini petang kelmarin.

Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah juga membangkitkan isu keperluan internet yang masa kini perlu difokuskan dan diperbaiki kerana kehidupan borma baharu amat bergantung kepada keperluan liputan internet.

“Urusan harian, pembelajaran, pengajaran, pendidikan, ekonomi, perniagaan, pekerjaan dan segala urusan termasuk mesyuarat, banyak diadakan secara alam maya dan tidak lain tidak bukan, ia memerlukan internet dan pastinya faktor liputan turut mempengaruhi kualiti,” katanya lagi.

Mengenai isu Kesultanan Sulu, Fairuz juga menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bahawa tuntutan Filipina adalah tidak berasas sama sekali. Beliau meminta supaya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri tidak lagi melayan mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.

“Negara kita, negeri kita, sudah pasti menjadi tanggungjawab kita untuk kita pertahankan sedaya upaya kita.

“Sememangnya tidak perlu kita kisah atau endahkan segala permintaan karut dan tidak masuk akal golongan-golongan itu kerana pastinya ini hanyalah akan menimbulkan kekusutan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...