Jumaat, 4 Mac 2022

Sabah wilayah berdaulat M'sia, bebas tuntutan Sulu

Sabah wilayah berdaulat M'sia, bebas tuntutan Sulu
04 Mac 2022 
FB Page Beritasabahan 
    Gambar : Edward Linggu

4 Mac 2022

KOTA KINABALU: Pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf arahan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa untuk membayar RM62.5 bilion kepada waris Sultan Sulu adalah penegasan bahawa tuntutan ke atas Sabah tidak lagi timbul.

Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Edward Linggu Bukut (gambar) berkata pendirian Malaysia itu juga menunjukkan tiada lagi asas menimbulkan isu tuntutan itu termasuk pendatang tanpa izin (PTI) dan Filipina.

"Bukti-bukti dokumen perundangan dan sejarah menunjukkan Sabah bebas daripada sebarang tuntutan mana-mana pihak dan merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat," kata Linggu.

Linggu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berkata demikian bagi menyokong kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.

Linggu menyatakan sokongan tersebut ketika merasmikan majlis penerimaan ahli-ahli baharu dan pembentukan Jawatankuasa Penyelaras Star Kawasan Kg Tinuhan Tenghilan.

Terdahulu, isu tuntutan ke atas Sabah turut disentuh dalam satu perjumpaan singkat Linggu dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di Johor.

Dalam kenyataannya, Yong menegaskan bahawa selepas kemangkatan Sultan Sulu tanpa waris lelaki pada 1930-an, Filipina telah mengisytiharkan bahawa kesultanan itu telah berakhir.

Dalam kenyataan bersama, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara menyebut Malaysia tidak mengambil bahagian dalam timbang tara yang membuat arahan tersebut yang dikatakan dibuat di Paris, Perancis.

Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa perkara tuntutan itu bukan bersifat komersial dan oleh itu tidak boleh tertakluk kepada timbang tara dan perjanjian 1878 tidak mengandungi perjanjian timbang tara.

Seterusnya kenyataan bersama itu menambah, identiti pihak yang menuntut juga diragui dan masih belum disahkan.

Sementara itu, Linggu yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyokong penuh langkah SAPP membawa usul Kad Pengenalan Sabah ke Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bulan ini.

Menurut Linggu, Kad Pengenalan Sabah merupakan sebahagian daripada manifesto Star yang perlu direalisasikan bagi menentukan ketulenan rakyat Sabah.

#BeritaSabahan
Berita untuk Sabahan

BERITA SABAHAN boleh diikuti melalui :  

📲 Telegram :  https://t.me/Beritasabahan
📲 Facebook : Like Page dihttps://www.facebook.com/BERITA.SABAHN/
📲 BLOGGER: beritasabahan1.blogspot.com
📲 Instagram: BeritaSabahan 

#beritasabahan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...