Khamis, 24 Mac 2022

NIZAM CADANG PENDUDUK BINA SEMULA RUMAH DI TAPAK KEBAKARAN

    
24 Mac 2022, Khamis

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membenarkan semua penduduk tempatan membina semula rumah di tapak kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di sini.

Menurutnya, perkara ini akan dikemukakan kepada Ketua Menteri agar semua penduduk tempatan dapat membina semula kediaman mereka di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata demikian semasa ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran, di sini hari ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk membuat tapisan supaya semua warganegara ataupun penduduk asal di kampung itu disenaraikan bagi memastikan mereka yang layak sahaja dapat membina semula rumah di tapak kebakaran tersebut.

Sementara itu, syarikat Armada Maritime Services Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 yang disalurkan melalui ADUN Apas untuk disampaikan kepada mangsa kebakaran.

Nizam berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, tapak berkenaan akan dibahagikan kepada lot-lot supaya pembinaannya nanti tidak terlalu rapat.

“Saya pasti kepimpinan yang ada sekarang adalah kerajaan yang prihatin dan sudah tentu cadangan ini akan dipertimbangkan demi memberi kebaikan kepada semua rakyat.

Buat masa ini, beliau juga sedang berusaha membina kembali tiga jambatan yang musnah supaya memudahkan pergerakan mereka. 

Sehubungan itu, pihaknya juga berharap kerajaan akan berusaha membina lebih banyak program perumahan rakyat (PPR) supaya penduduk di daerah ini dapat menikmati penempatan yang selesa.

“Pembinaan PPR dapat membantu rakyat yang masih tidak mempunyai rumah, sekali gus menyifarkan kawasan setinggan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Armada Maritime Services Sdn Bhd, Kapten Damian Chan Hann Yung berkata bantuan yang disalurkan itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu mangsa kebakaran.

“Bagi memastikan sumbangan diberikan itu bersesuaian dan mengelak pembaziran, kami membuat keputusan untuk memberikan bantuan dalam bentuk wang tunai melalui pihak ADUN Apas,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...