Jumaat, 18 Mac 2022

MBS MAHU LIBATKAN LEBIH RAMAI MAHASISWA DALAM GERAKAN BELIA & PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA SECARA KONSISTEN

Kenyataan Media 
Majlis Belia Sabah
18 Mac 2022 / 15 Syaaban 1443H

MBS MAHU LIBATKAN LEBIH RAMAI MAHASISWA DALAM GERAKAN BELIA & PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA SECARA KONSISTEN

KOTA KINABALU Mahasiswa adalah salah satu komponen belia yang terbesar merangkumi belia berumur 18-25 tahun bagi tahap diploma dan ijazah sarjana muda. Mereka boleh dikatakan sebagai sebuah kumpulan unik yang dipandang tinggi oleh masyarakat berdasarkan kepada kemampuan dan kelebihan yang dimiliki serta belum terikat oleh kepentingan-kepentingan golongan tertentu, persatuan, mahupun pemerintah. Mahasiswa memiliki idealisme iaitu suatu kebenaran yang diyakini murni dari peribadi seseorang dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran yang dapat menggugat kapasiti kebenaran tersebut. 
Berdasarkan kredibiliti, potensi dan kelebihan yang dimiliki oleh golongan mahasiswa, mahasiswa tidak seharusnya hanya memikirkan mengenai keperluan dirinya sendiri tanpa berperanan dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Mahasiswa itu bukannya manusia yang tugasnya hanya belajar, bukan pula rakyat, bukan pula pemerintah. Mahasiswa memiliki tempat yang tersendiri dalam lingkungan masyarakat, namun bukan bermaksud memisahkan diri dari masyarakat secara total.
Justeru, perlu ada mekanisme dan strategi bagi memanfaatkan semaksimumnya  peranan, fungsi, dan kedudukan mahasiswa dalam merancang, membantu dan menentukan arah pembangunan belia, masyarakat dan negara. Maka atas keperluan itu, Majlis Belia Sabah (MBS) akan mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan penglibatan mahasiswa secara konsisten dalam gerakan belia dan aktiviti pembangunan belia di Sabah seperti berikut: 
1. MBS dalam proses merangka penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah, Semenanjung dan Luar Negara sebagai satu platform untuk berbincang, merancang dan melaksanakan suatu tindakan secara tersusun. Melalui sekretariat ini juga, para mahasiswa yang berada di Sabah, Semenanjung dan luar negara akan mendapat maklumat dan perkembangan isu semasa yang berlaku serta akan cakna tentang platform untuk pelaksanaan program yang boleh mereka sertai atau laksanakan Bersama, Ini akan membantu peningkatan kepedulian isu semasa dan kemahiran insaniah disamping membuka ruang dan peluang keterlibatan mereka dalam program-program MBS.
2. MBS akan berkolaborasi & bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan mahasiswa Sabah yang wujud secara sah di Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara untuk terlibat dalam program-program teras MBS khususnya berkaitan kepimpinan muda, kesukarelawanan, khidmat bakti, advokasi intervansi sosial, pendidikan politik dan demokrasi (Undi 18) dan sebagainya. MBS juga bersedia untuk membuat sesi "engagement" yang lebih terbuka bersama para mahasiswa Sabah di semenanjung melalui program-program yang akan dicadangkan oleh MBS sendiri. MBS menyedari betapa pentingnya partisipasi, kolaborasi dan kerjasama pihak MBS bersama dengan individu, perkumpulan dan pertubuhan mahasiswa Sabah diseluruh IPT demi kesejahteraan belia bukan sahaja di Sabah amnya, tetapi juga yang sedang melanjutkan pelajaran di perantauan.

3. Menyediakan platform yang relevan kepada mahasiswa untuk membawa suara dan harapan mahasiswa Sabah di Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah dan aktiviti perbincangan meja bulat. MBS juga membuka ruang dan peluang untuk sebarang bentuk idea yang boleh diajukan oleh mana- mana kumpulan atau pertubuhan mahasiswa Sabah untuk dibawa kepada pihak pemegang taruh khususnya Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk tindakan selanjutnya. MBS juga menggalakkan mahasiswa untuk mengajukan sebarang cadangan mahupun persoalan kepada MBS untuk diteliti secara kolektif. 

MBS berharap cadangan dan usaha ini akan mendapat sokongan semua pihak pemegang taruh khususnya Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi membantu penglibatan mahasiswa Sabah secara konsisten dan berganding bahu dalam sebarang usaha untuk mengangkat belia Sabah samada melalui cadangan bernas, idealisme yang relevan dengan situasi semasa serta kapasiti yang ada untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang belianya adalah belia berwibawa, kompeten dan berdaya maju.

“Belia Sabah Berwibawa, Belia Sabah Maju Jaya”

Abqaree Fawwaz Abekan
Presiden
Majlis Belia Sabah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...