Khamis, 24 Mac 2022

Mayat kanak-kanak terapung di tepi laut

Mayat kanak-kanak terapung di tepi laut

PERIKSA: Mohd Zaidi turun padang bertanya kepada salah seorang saksi remaja yang menemukan mayat kanak-kanak lelaki terapung di tepi laut berhampiran Kampung Tanjung Aru di sini.

KOTA KINABALU: Dua remaja lelaki terkejut sebaik menemukan mayat kanak-kanak lelaki dalam keadaan terapung di kawasan tepi laut berhampiran Kampung Tanjung Aru di Jalan Coastal di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata mayat mangsa terbabit dipercayai dalam lingkungan 10 tahun dan bukan warga tempatan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian disedari dua remaja yang melalui lokasi kejadian sebelum mengangkat mayat mangsa ke kawasan darat dan menghubungi pihak berkuasa kira-kira jam 1.57 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai warga asing berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada badan mangsa,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Zaidi berkata berdasarkan pemeriksaan awal, mayat mangsa juga hanya mengalami sedikit benjolan di bahagian dahi dipercayai akibat terhentak pada batu penghadang di tepi laut ekoran keadaan arus ombak yang agak kuat.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan lakaran wajah mangsa akan diserahkan kepada media untuk mengesan waris.
Sementara itu, dua remaja yang menemui mangsa, Mohd Hazani Jasmani, 19, berkata, dia dan rakannya, Fadzli Yusuf, 17, menyedari mayat mangsa terapung ketika berjalan kaki melalui jalan berkenaan.
Katanya, dia dan rakannya terus turun ke laut untuk membawa naik mangsa sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Sumber : utusan borneo 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...