Selasa, 22 Februari 2022

Mesyuarat awal tidak rasmi telah diadakan dengan Parti Warisan untuk membentuk Bornean Alliance (Perikatan Borneo) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) See Chee How

 

KUCHING: Mesyuarat awal tidak rasmi telah diadakan dengan Parti Warisan untuk membentuk Bornean Alliance (Perikatan Borneo) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) See Chee How (gambar).
Beliau mendedahkan pertemuan sedemikian telah diadakan 'tidak kurang daripada dua kali' antara Ahli Majlis Presiden PSB Baru Bian dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
Dengan PRU15 mungkin diadakan menjelang penghujung tahun ini, beliau menegaskan adalah penting untuk mengadakan pakatan sedemikian supaya rakyat Sarawak dan Sabah bersama-sama memastikan hak mereka dipandang serius seperti penurunan kuasa kepada kedua-dua negeri.
"Kita sangat berharap kita dapat melakukannya. Ia sama ada anda pasukan ketiga atau sama ada pada penghujung hari bermain sebagai dalang politik (kingmaker)," katanya dalam satu temu bual.
Menurut See, terdapat kemungkinan Warisan mengetuai perikatan tersebut di Sabah dan PSB memimpinnya di Sarawak.
"Kemudian kita membawa parti tempatan lain ke dalam perikatan supaya kita boleh memenangi sebanyak mungkin kerusi di Sarawak dan Sabah serta juga beberapa kerusi yang dimenangi Warisan di Sabah, seterusnya boleh menjadi kuasa ketiga yang sangat berdaya maju," tambahnya.
Beliau berkata dengan Warisan memasuki Semenanjung dan mendapat sambutan menggalakkan di sana, Perikatan Borneo ini boleh menjadi alternatif kepada pengundi di sana.
"Apa yang saya perhatikan sekarang, di Semenanjung, tidak ada satu gabungan yang akan mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. 
“Jadi, mereka akan memerlukan sokongan daripada Sarawak dan Sabah apatah lagi apabila melihat kepada pelbagai gabungan yang kita ada sekarang.
"Dan untuk PSB, pemimpin kita, kita melihat bahawa sebenarnya ini adalah masa terbaik jika kita boleh mendesak supaya gabungan Sarawak menjadi kuasa tertinggi supaya individu dari Malaysia Timur iaitu Sabah atau Sarawak dapat menjadi Perdana Menteri," katanya. 
Kata See juga, di Semenanjung, rakyat sudah muak dengan politik yang ada di sana dan mencari alternatif lain.
"Kita sebenarnya adalah contoh baik yang boleh diikut oleh rakyat Semenanjung Malaysia. Keadaan kita lebih aman dan harmoni dengan pelbagai kaum dengan hanya sedikit masalah perkauman yang menjejaskan kita," katanya.
Ketika ditanya sama ada perikatan tersebut juga akan mengambil parti berasaskan nasional yang sudah mempunyai piagam tempatan di Sarawak dan Sabah, beliau berkata ia terpulang kepada perikatan untuk membuat keputusan kemudian apabila ia dirasmikan.
"Saya tidak boleh berkata lebih. Ia terpulang kepada perikatan sama ada akan bekerjasama dengan parti nasional," katanya.
Parti nasional yang mempunyai piagam tempatan di Sarawak dan Sabah termasuk DAP, PKR, Amanah dan PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...