Selasa, 15 Februari 2022

𝐂𝐮𝐛𝐚𝐚𝐧 𝟏𝟎 𝐏𝐀𝐓𝐈 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐮𝐬𝐮𝐩 𝐦𝐚𝐬𝐮𝐤 𝐠𝐚𝐠𝐚𝐥

 
Tawau: Cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke daerah ini gagal apabila dikesan Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan Op Benteng Bersama di Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat, di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 5.50 pagi itu, semua PATI berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun terbabit berjaya ditahan walaupun cuba bersembunyi di sebuah kandang kambing di kampung berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bahagian Hal Ehwal Awam, Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) hari ini berkata, kejayaan tangkapan ini adalah hasil pengesanan kehadiran dua bot laju mencurigakan yang mendarat di jeti berkenaan.

Katanya, berdasarkan pengesanan berkenaan, sepasukan Tim QRF terus diaturgerak lokasi untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pasukan operasi kemudiannya berjaya menahan 10 PATI yang baru sampai di daerah ini dan sedang bersembunyi di kandang kambing di kampung berkenaan.

“Kedua-dua bot laju yang membawa mereka pula sudah dipercayai berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas dapat menurunkan semua PATI terbabit,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua PATI yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan dua wanita.

“Semua PATI hanya membawa barang persendirian dan tiada sebarang penemuan barang-barang terlarang. 

“Kumpulan PATI berkenaan juga memaklumkan mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke negara ini untuk bekerja,”katanya.

Menurutnya, semua PATI terbabit terus dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya termasuk proses saringan Covid-19.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Sehubungan itu, Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang bertugas di POWB ATB 2 atas kejayaan operasi kali ini.

Katanya, kejayaan ini membuktikan ATB2 sentiasa komited terhadap menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan ESSZONE Sabah.

“ATB2 sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara,” katanya.

-Tamat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...