Khamis, 22 Jun 2023

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah


KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan dua kapal tenaga akan disediakan bagi menambah kapasiti elektrik di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kapal tenaga itu akan disediakan di Sandakan dan Lahad Datu salah satu inisiatif bagi mengelak kejadian teknikal elektrik yang serius di negeri ini.

"Seperti yang kita ketahui pada tiga minggu lepas kita telah mengalami satu keadaan apabila permintaan elektrik telah hampir mencapai tahap maksimum dengan jumlah yang boleh dibekalkan oleh grid elektrik kita di Sabah.

"Jadi apabila itu berlaku maka pihak SESB terpaksa melakukan catuan tenaga bagi memastikan bahawa ada 'safety margin' dalam sistem grid pada bekalan elektrik bagi mengelak kejadian teknikal yang lebih serius terjadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu pada Khamis.

Menurut Shahelmey, pihak SESB dan kerajaan Sabah juga sedang menambah kapasiti bekalan elektrik melalui mobil genset dan yang terbaharuakan datangkan dua kapal tenaga atau power ship untuk disediakan di Sandakan dan Lahad Datu.

"Adanya kapal tenaga dan genset ini maka sumber tenaga yang dibekalkan ke sistem grid elektrik Sabah akan berada dalam keadaan sihat, maka infrastruktur dari segi tenaga dalam keadaan baik," katanya.

Sementara itu, ditanya pemberita lebih lanjut mengenai kapal tenaga itu, beliau memaklumkan bahawa ia akan tiba dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.

"Apabila kapal tenaga itu beroperasi menghasilkan tenaga maka margin lebih 200 megawatt akan dapat dicapai dan sudah tentu ia memberi keyakinan dan juga keselesaan terhadap bekalan elektrik.

"Untuk di sebalah pantai barat kita mempunyai loji jana kuasa, namun di Sandakan dan Lahad Datu adalah kawasan yang memang memerlukan tambahan bekalan elektrik untuk memastikan aktiviti ekonomi di kawasan itu dapat dijalankan tanpa gangguan," katanya.

Sumber Sinar harian 

Oleh  Asyikin asmin

Wartawan lokasi RizalLimat 

BORNEO ONLINE MEDIA 


Bersedia untuk dicaci, dimaki dan difitnah antara tip yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut


KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Bersedia untuk dicaci, dimaki dan difitnah antara tip yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah untuk mahasiswa yang ingin berkecimpung dalam politik.

Beliau berkongsi tip itu menerusi platform Dialog Siswa bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya merangkap Menteri Kerja Raya yang diadakan di Dewan Al Bukhari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah berkata, tip yang pertama mahasiswa yang berminat dalam bidang politik harus bersedia dengan cabaran dalam politik.

“Kita kena bersedia dalam politik ini banyak liku-liku terlalu banyak cabaran, cabaran pertama kita kena bersedia bahawa kita ini dicaci, dimaki dan difitnah orang.

“Seribu kebaikan kita buat, satu kali kita buat salah, yang satu kali salah itu yang akan diangkat,” katanya menerusi sesi soal jawab bersama mahasiswa yang hadir pada program itu pada Khamis.

Soalan itu diutarakan oleh Rika Rahayu daripada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang meminta perkongsian tip supaya mahasiswa dan mahasiswi bersungguh-sungguh belajar seperti ahli politik.

Tip seterusnya yang dikongsikan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu ialah mahasiswa yang berminat memasuki bidang politik harus menanam rasa cinta kepada politik.

“Kalau tidak ada rasa cinta kepada politik, adik akan tidak bermaya untuk melawan cabaran, tidak akan bermaya untuk merancang masa depan politik.

“Sekarang cita-cita sudah jelas, mahu jadi Perdana Menteri. Sama ada tercapai atau tidak, mungkin paling kecil pun jadi adik boleh menjadi seorang wakil rakyat, jadi tidak salah untuk bercita-cita besar kerana orang kata, sekurang-kurangnya boleh menjadi wakil rakyat.

“Jadi kena tanamkan minat politik itu dalam hati, yang kedua jangan malu dan segan bertanya kepada rakan, bertanya kepada orang lama dalam politik,” katanya.

Selain itu, Masiung berkata, mahasiswa yang berminat dalam politik harus bermula dengan persatuan kerana di situlah bermulanya kepimpinan dalam diri.

“Sekarang ini banyak persatuan yang diwujudkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan untuk menggilap bakat daripada awal untuk menjadi pemimpin peringkat persekutuan.

“Itu asasnya, kalau di peringkat persatuan pun malas atau tidak ada saya untuk berkecimpung dalam persatuan, jangan mimpi akan boleh naik di masa akan datang.

“Saya berani berkata demikian kerana saya berada di sini juga bermula daripada persatuan, saya bermula dengan Persatuan Tingkatan Enam, Persatuan Pencinta Alam, persatuan di gereja dan di sana bakat itu digilap serta mengasah bakat untuk menjadi pemimpin.

“Bagaimana kita mahu memimpin satu negara, satu negeri atau daerah, sedangkan dalam kelompok kecil pun kita tidak boleh memimpin,” katanya.

Wartawan lokasi RizalLimat

 Hitsonline Media Broadcast

Sabahviral

SHAH ALAM – Kerajaan Sabah sedang berusaha mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) bagi memastikan masalah bekalan air di negeri itu dapat diatasi.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya menjelaskan, beberapa faktor lain juga sudah dikenal pasti dan kerajaan telah mengemukakan langkah jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya akui Sabah terutama di utara Kota Kinabalu, Patutan dan Tuaran sedang mengalami masalah kekurangan atau tekanan air rendah dalam beberapa bulan ini.


“Situasi ini disebabkan tahap bekalan air dari Sarawak sama dengan permintaan (iaitu) pengeluaran dan permintaan hampir sama.


“Program kemajuan kerja Lori Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua juga telah tergendala dan mengalami kelewatan. Ia tidak dapat disiapkan mengikut kontrak sepatutnya,” katanya ketika program Dialog Siswa yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.


Program yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform digital Sinar Harian itu turut mengundang Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Masiung Banah, manakala Safwan Sawi bertindak sebagai hos.


Dalam pada itu, Shahelmy yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut mengakui tahap pengurusan projek pembekalan air di Sabah yang lemah merupakan antara punca utama isu kekurangan bekalan air di negeri itu ketika ini.


Justeru beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah melakukan rombakan selain mengemaskini pentadbiran agensi terlibat bagi mengelakkan sebarang ketirisan berlaku.


“Setelah lakukan rombakan dan mengemaskini pentadbiran Jabatan Air Sabah, kita sedang menstabilkan tekanan dan agihan bekalan air sekitar Kota Kinabalu termasuk di Tuaran.


“Selain itu, kita juga mengambil langkah memutuskan penyambungan langsung yang ada di paip penghantaran utama penyebab gangguan tekanan.


“Sekarang sudah banyak kawasan mula menerima bekalan air yang stabil namun kawasan UiTM (Kota Kinabalu) dan Bukit Sepanggar akan memerlukan sedikit masa untuk menstabilkan air di sistem paip tersebut,” ujarnya.


Sementara itu, Shahelmey berkata, kerajaan juga sedang dalam peringkat akhir kajian bagi membina Empangan Papar yang merupakan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah air di pantai barat Sabah.


Empangan yang berkapasiti 1,000 MLD itu dilihat antara penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah ketiadaan bekalan air.

Sabtu, 18 Mac 2023

GRS KEKAL TERAJUI KERAJAAN SEHINGGA PRN KE-17 - KITINGAN 18 Mac 2023

GRS KEKAL TERAJUI KERAJAAN SEHINGGA PRN KE-17 - KITINGAN 
18 Mac 2023
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kekal menerajui Kerajaan Negeri Sabah sehingga Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Ke-17 akan datang berdasarkan pelbagai senario yang sedang berlaku di Sabah dan Persekutuan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, Datuk Seri Hajiji Haji Noor akan kekal sebagai Ketua Menteri kerana memiliki majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah juga akan membentang undang-undang anti-lompat di DUN Sabah untuk mengekang pergerakan ahli-ahli DUN beralih dari satu parti ke parti lain,” katanya.

Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian dalam ucapan  Mesyuarat Agung Khas Parti STAR Sabah di Dewan Datuk Guandee Kohoi Sokid Villa di sini hari ini.

Mesyuarat agung khas diadakan untuk membuat beberapa pindaan perlembagaan parti demi memperkukuh STAR, memperkasa kepimpinan dan memperluas ruang ahli-ahli berkhidmat kepada rakyat.

Menurut Kitingan, sokongan rakyat kepada GRS dan Kerajaan Perpaduan Persekutuan juga turut didukung perkembangan mutakhir kalangan rakyat yang mulai menerima agenda perjuangan MA63.

Ahli Parlimen P180 Keningau berkata, “Perjuangan menuntut hak perlembagaan Sabah dan Sarawak sudah menjadi agenda utama kalangan pemimpin parti-parti politik khususnya di Sabah termasuk kalangan wakil rakyat,” 

Kitingan seterusnya menjelaskan, jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hak-hak perlembagaan Sabah dan Sarawak turut memperkukuhkan keyakinan rakyat Sabah ke atas Kerajaan GRS.

Tegasnya, jaminan tersebut merupakan satu pencapaian tersendiri bagi perjuangan STAR setelah tuntutan hak perlembagaan itu dipandang sebagai satu kesalahan ketika era pemerintahan terdahulu di bawah Tun Dr Mahathir bin Mohamad.

Isnin, 13 Mac 2023

Kembalikan Status Bebas Cukai Penuh Untuk Labuan Pacu Ekonomi-Masiung

Kembalikan Status Bebas Cukai Penuh Untuk Labuan Pacu Ekonomi-Masiung

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sewajarnya mengkaji semula dasar percukaian 
yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi Labuan menyebabkan status bebas cukai di pulau itu semakin terhakis. 

"Labuan akan terus ketinggalan dari arus perdana ekonomi jika kerajaan tidak mengembalikan sepenuhnya status bebas cukai di pulau itu, " demikian menurut Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah. 

Katanya, meskipun Labuan dikenali sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa yang terpenting di rantau ini, tapi pulau itu kini telah kehilangan seri umpama 'bandar tua' yang ditinggalkan. 

"Pulau Mutiara itu suatu ketika dahulu merupakan destinasi percutian terkenal dengan pusat beli belah bebas cukai yang murah, namun kini bertukar sebagai bandar lembap," kata Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut. 

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) bertaraf menteri itu diminta mengulas isu percukaian di Labuan setibanya di Kota Kinabalu selepas mengetuai rombongan para pemimpin daerah Tongod ke Kuala Lumpur, semalam. 

"Labuan tiada lagi tarikan pengunjung kerana harga barang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini. 

Status Labuan sebagai pulau bebas cukai sudah semakin terhakis berikutan kerajaan telah menyenaraikan produk tembakau, rokok dan minuman beralkohol sebagai barangan yang dikenakan cukai sejak 1 Januari 2021," katanya. 

Menurut Masiung, sekarang hanya makanan ringgan seperti coklat, gula-gula dan keropok sahaja yang dikecualikan cukai itupun harganya hampir sama di Sabah. 

Labuan tersepit dengan masalah ekonomi yang lembap dan punca utama harga bahan mentah tinggi adalah kos pengangkutan. 

Kerana hampir semua barangan pengguna diangkut dari tanah besar Sabah menggunakan jalan darat kemudian merentasi lautan menaiki feri dari Menumbok, jelasnya lagi.

Masiung berkata, kebanyakan kargo dari semenanjung Malaysia dan luar negara di hantar terus ke tanah besar Sabah, menyebabkan pelaburan di pulau mutiara itu terus sepi meniti senja. 

Mengulas lanjut isu tersebut, penduduk Labuan sudah bersuara melalui dewan-dewan perniagaan dan forum kebangsaan namun belum ada respon positif dari Putrajaya. 

Ahli Parlimen Labuan juga pernah membawa usul ke Dewan Rakyat sebagai isyarat kepada Putrajaya memulangkan kembali Labuan di bawah pentadbiran kerajaan wilayah Sabah.

Dasar baharu percukaian sekarang merupakan satu deskriminasi ekonomi kepada penduduk Labuan yang perlu dikongsi bersama dengan pengunjung luar. 

Masiung mengesa Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menstrukturkan semula dasar baharu percukaian di Labuan dan mengembalikan semua statusnya sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya.

Sabtu, 11 Mac 2023

Pembinaan LRA Telibong II akan terus dipantau

Kota Kinabalu : Pembinaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II akan terus dipantau bagi memastikan pelaksanaan LRA tersebut siap pada waktu yang ditetapkan iaitu selewatnya tahun depan.

Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud berkata, ia adalah bagi memastikan isu bekalan air bersih yang dialami khususnya di kawasan Sepanggar dapat diatasi dengan segera.

“Kita akan memantau pelaksanaan projek LRA Telibong II ini yang dijangka siap pada tahun hadapan, isu ini akan kita pantau.

“Manakala bagi isu yang berkaitan terutama untuk mendapatkan peruntukan lebihan yang diperlukan diperingkat Persekutuan, saya sendiri akan cuba usaha minta Perdana Menteri agar perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Parlimen Sepanggar bagi suku pertama 2023 di sini hari ini.

Mustapa yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pihaknya juga telah melaksanakan beberapa langkah jangka pendek bagi memastikan bekalan air ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya khususnya di Sepanggar.

“Buat masa ini saya sudah bekerjasama dengan Jabatan Air untuk memastikan supaya ada beberapa taman atau kampung yang ada masalah kritikal ini kita pantau paras air di kawasan terlibat.

“Kita tidak mahu nanti bila air habis, barulah ianya diisi semula. Saya lihat perkara ini dapat diselesaikan dengan adanya penjadualan khususnya di kawasan kritikal.

“Selalunya bila saya mengadukan perkara ini kepada Jabatan Air, tidak lama kemudian bekalan air ada. Jadi disana kita dapat lihat bahawa paras air itu jangan dibiarkan kosong. Ini saya lihat boleh dijadikan sebagai solusi jangka pendek,” katanya.

Bagaimanapun beliau memahami perkara tersebut merupakan bidang kuasa Jabatan Air yang perlu memantau beberapa daerah lain yang turut mengalami masalah sama.

Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya sebelum ini juga pernah membawa isu berkenaan ke peringkat Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian termasuk mendapatkan dana bagi isu berkenaan.

“Sebenarnya Ketua Menteri sudah menulis surat kepada Perdana Menteri untuk membantu dan sebenarnya apa yang kita perlu adalah empangan yang baharu.

“Bagaimanapun ianya memerlukan dana yang besar dan saya difahamkan lebih RM3 bilion untuk tujuan itu. Namun itu hanya untuk Kota Kinabalu tetapi ia memakan masa yang lama sehingga 20 tahun.

“Kita kena akur, jika tiada empangan baharu ini, isu seumpama ini akan terus berlarutan,” katanya. Borneo Online Media 

Khamis, 9 Mac 2023

Muhyiddin dijangka berdepan enam pertuduhan termasuk salah guna kuasa - Sumber

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas enam pertuduhan.
Sumber ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis mendedahkan, empat daripada pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana salah guna kuasa

Sementara dua lagi pertuduhan membabitkan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan didakwa di mahkamah pagi esok.
Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.
Sebelum ini Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.
Sebelum ini, SPRM turut membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Sabtu, 4 Mac 2023

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin hari ini telah mengumumkan keluar dari Parti Warisan Sabah

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin hari ini telah mengumumkan keluar dari Parti Warisan Sabah dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

George dalam kenyataannya hari ini berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana rakyat sudah tidak mahu melihat keadaan politik yang tidak stabil yang telah mengakibatkan terbantutnya perkembangan dan kemajuan di Sabah, termasuk kawasan Karamunting.

“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah. Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang mendahagakan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.

“Demi pembangunan dan kesahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

George memenangi kerusi Karamunting atas tiket Warisan pada tahun 2018 dan 2020. Beliau juga pernah menjadi Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama dua tahun.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal atas peluang yang diberikan kepada beliau di dalam arena politik.

“Namun, sekarang adalah masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian untuk menyatupadukan rakyat Sabah, membangunkan Sabah, dan menuntut hak-hak kita yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya akan menyumbangkan segala tenaga dan masa saya untuk bekerja dan memastikan kebajikan rakyat di kawasan saya akan terus terjaga, disamping membawa pembangunan yang diperlukan di Karamunting,”ujarnya.

Terdahulu pada Isnin lalu, ADUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari juga telah mengumumkan keluar dari parti Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Isnin, 27 Februari 2023

ADUN Petagas umum keluar WARISAN, sertai Gagasan Rakyat

KELUAR WARISAN: Ahmad Sah (kanan) bersama kepimpinan dan ahli WARISAN Bahagian Putatan mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Awang Ahmad Sah Sahari mengumumkan keluar Parti Warisan (WARISAN) bersama hampir keseluruhan barisan kepimpinan dan ahli dari 90 cawangan parti berkenaan di Putatan.

Keputusan yang dibuat mantan Ketua Bahagian WARISAN Putatan yang juga Bendahari Agung WARISAN Pusat itu sekali gus disifatkan sebagai menjatuhkan WARISAN Bahagian Putatan.

Beliau bersama hampir kesemua kepimpinan dan ahli WARISAN peringkat bahagian dan cawangan Putatan turut memutuskan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). 

Pihaknya sebulat suara menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat.

"Saya memikirkan perkara ini selama tiga bulan selepas pilihan raya umum (PRU) yang lepas dan banyak membuat perbincangan dalam kalangan rakan kepimpinan parti.

"Keputusan dibuat tanpa sedikit keraguan kerana ini bukan saya sahaja keluar WARISAN dan boleh disifatkan keseluruhan pimpinan bahagian, Wanita, Wira, dan Wirawati sebulat suara menyokong perpindahan kepada Gagasan Rakyat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Sah turut menjelaskan mengenai pertemuannya bersama Hajiji sebelum ini yang berkaitan dengan perbincangan mengenai perancangan pembangunan untuk kawasan Petagas.

Beliau turut menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk memutuskan dari segi konteks kepimpinan Gagasan Rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas dan Tanjung Aru.

"Saya terbuka untuk bekerjasama dan berganding bahu untuk memastikan matlamat membantu rakyat dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun setengah lagi.

"Apa yang penting, mulai hari ini kita bekerja bersungguh-sungguh untuk pastikan rakyat dapat dibantu dan dibela," katanya.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, Ahmad Sah adalah ADUN dari WARISAN yang ke-10 mengumumkan keluar parti setakat ini.

Rizallimat 

wartawan lokasi 

Khamis, 16 Februari 2023

Rizal Limat, 37, berkata, masalah berkenaan bukan saja menjejaskan kehidupan seharian mereka, malah turut memberi kesan kepada operasi harian salah sebuah sekolah di situ.

Rizal Limat, 37, berkata, masalah berkenaan bukan saja menjejaskan kehidupan seharian mereka, malah turut memberi kesan kepada operasi harian berapa sebuah sekolah di situ.
“Kami beberapa kali mengadu kepada JANS, namun sehingga kini belum ada penyelesaian dilakukan, apa yang kami dapat hanyalah alasan demi alasan yang diberikan.

“Penduduk di sekitar kawasan Sepanggar dan karambuani  begitu menderita, mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan sumber air, termasuklah turun ke sungai untuk mengangkat air,” katanya.

Rizal berkata, antara alasan yang diberikan pihak JANS sebelum ini termasuk pam air rosak, tiada tangki dan kekurangan bekalan air di kawasan Sepanggar.

“Memang kita faham, pembangunan di Sepanggar ini begitu pesat dengan wujudnya banyak perumahan-perumahan dan mungkin juga bekalan air berkurangan.

“Tetapi sampai bila masalah ini terus berlarutan? Sebelum ini tidak jadi sampai macam ini, kenapa sekarang ianya semakin teruk?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada pihak berkaitan termasuklah kerajaan negeri supaya mengambil perhatia

SEJARAH AWAL KG.NUMBAK.

SEJARAH AWAL
KAMPUNG NUMBAK, MANGGATAL,

KOTA KINABALU, SABAH.

.PEMBUKAAN KAMPUNG NUMBAK

Sejarah awal pembukaan kampung Numbak, Maanggatal
bermula dari era 1940an sebelum pendudukan Jepun di Tanah
Melayu.

Kampung Numbak asalnya terbahagi kepada dua buah kampung
yang terpisah oleh sebuah bukit iaitu Kampung Selembangun.

Pembukaan kedua – dua kampung ini dilakukan oleh dua
kelompok masyarakat yang berbeza.

Kampung Numbak,Manggatal telah dibuka mengikut sejarah
awalnya oleh beberapa orang penduduk yang berpindah dan
meneroka tempat ini dan membukanya sebagai sebuah
perkampungan nelayan yang bersaiz keclL.

Antara penduduk yang terlibat membuka kampung Numbak pada
era tahun 1940an ini adalah;

1. OT Juaran Bin Diki
2. Hj.Abdullah Bin Duyun
3. Hj.Sain Bin Bakar
4. Hj.Mandaut Bin Sait
5. Ajam Bin Hj.Abdullah
6. Safar Silong

Kampung Selembangun pula pada masa itu telah diteroka
sebagai perkampungan oleh;

1. Tn. Duali
2. Moon Bin Diakum
3. Endom Bin Duali
4. Jerman Bin Duali
5. Amin Bin Duali.

Berdasarkan nama-nama ini jelas bahawa pembukaan kedua-
dua kampung ini telah dibuat melalui satu pakatan kekeluargaan.

Madas dan selainnya kurang jelas penempatan awal mereka.

Kedua-dua kampung ini pada masa itu tidaklah sampai
penduduknya 60 orang sehinggalah kampung ini merentas masa
dan waktu yang agak lama untuk berkembang. Sejak awal
pembukaannya, kedua-dua kampung ini sentiasa mengamalkan
permuafakatan yang erat dan sering seiring menjalankan aktiviti
kebudayaan dan keagamaan secara bersama kerana antaranya
mereka mempunyai pertalian persaudaraan yang sangat rapat.

PEKERJAAN PENDUDUK.
Sejak pembukaan kedua-dua kampung ini, masyarakat atau
penduduknya bergantung harap pada pekerjaan sebagai
nelayan dan serba sedikit bercucuk tanam.Hasil tangkapan ini lah
yang menjadi pertaruhan untuk menyara keluarga. Mereka pada
masa itu menggunakan perahu tan enjin sangkut dan hanya
menggunakan pendayung untuk meredah lautan. Pekerjaan ini
masih menjadi sumber kehidupan utama mereka sehngga ke hari
ini walaupun sudah banyak mengalami pembaharuan cara
penangkapan ikan. Namun begitu, kedua-dua kampung ini
mengalami perubahan yang amat besar sejak 80 tahun yang lalu.

PEMIMPIN-PEMIMPIN KAMPUNG NUMBAK
SEJAK AWAL PEMBUKAANNYA.

Antara pemimpin-pemimpin Kampung Numbak sejak awal
pembukaannya sehingga kini adalah seperti berikut;

Senarai pemimpin Ketua Kampung.

1. KK OT Juaran Bin Diki
2. KK Jaafar Bin Hj. Tali
3. KK Yaakub Bin Hj.Mandaut
4. KK Sainih Bin Ajam
5. KK Aliatab Bin Hj. Sain
6. KK Yuseri Bin Lamyah

Senarai pemimpin Imam.

1. Imam Hj. Tali Bin Sait
2. Imam Hj.Sain Bin Bakar
3. Imam Minin Bin Buali
4. Imam Jimat Bin Hj.Mandaut.

PENGIKTIRAFAN KAMPUNG NUMBAK
SEBAGAI TANAH RIZAB ANAK NEGERI
KAMPUNG NUMBAK, MANGGATAL, KOTA KINABALU.

Zaman semakin berubah, pemimpin silih berganti. Namun
kesedaran untuk memilik Tanah Perkampungan sendiri terus

diperjuangkan oleh para pemimpin terdahulu sehingga kini.
Mereka sedar hak anak kampung mereka supaya tidak tertindas
dimasa akan datang oleh arus pembangunan dan kepelbagaian
masalah yang tidak terduga.

Pemimpin -peminpin lama sejak zaman lampau yang bermula
sejak tahun 1960an lagi sudah mula mengerakkan satu proses
permohonan pemilikan tanah kampung sebagai Tanah Rizab Anak
Negeri Kampung Numbak. Sebelum permohonan ini berjaya pada
22 mac 2017 melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah dan warta inilah
yang menjadi titik tolak untuk mengabungkan kampung
Selembangun dan kampung Numbak sebagai satu kampung iaitu
kampung Numbak,Manggatal. Kampung ini telah mengalami dua
proses perubahan yang amat besar.

Pertama :
Lebih kurang pada tahun 1981, Ko-Nelayan telah membina
perumahan di Kampung ini sebanyak dua fasa. Fasa pertama

Kedua :
Pada tahun 2003, sekali lagi Kampung Numbak dilanda dengan
pembinaan rumah untuk perpindahan penduduk Kampung
Sabang dimana sebahagian rumah pemindahan itu berada
dalam Tanah Rizab Kampung Numbak. Situasi ini semakin tidak
sihat kerana kemasukkan masyarakat luar yang tidak dikenali turut
tinggal di Kawasan ini. Kedua-dua era ini banyak merubah
landskap kampung Numbak dan Selembangun.

JUMLAH PENDUDUK KAMPUNG NUMBAK, MANGGATAL.

Anggaran jumlah penduduk asal Kampung Numbak.
Jumlah : 576 Orang.
Bangsa : Bajau Samah ( Penduduk asal)

Anggaran jumlah penduduk luar di Kampung Numbak.

Jumlah : 154 Orang
Bangsa : Kagayan dan lain-lain.

ISU-ISU SEMASA KAMPUNG NUMBAK,MANGGATAL.

Kampung ini tidak terlepas dari pelbagai isu negative apabila
penduduk luar semakin tidak terkawal masuk ke kampung ini.
Kesan-kesan sosia; yang kurang sihat terus menjadi masalah besar
bagi masayarakat kampung dan para belia dan beliawanis
kampung ini.

Mereka-mereka ini semakin rakus membina rumah-rumah mereka
tanpa mengindahkan peraturan dan undang-undang pihak
berkuasa. Pencerobohan tanah Rizab malah tanah perkuburan
juga diceroboh.

PENUTUP:

Semoga sejarah ringkas pembukaan kampung

Numbak,Manggatal ini dapat memberikan serba sedikit

gambaran perjuangan nenek moyang kita yang perlu dihargai.

Terima kasih banyak kepada mereka semua semoga Allah SWT.

memberikan ganjaran pahala yang sewajarnya.

Disediakan Oleh,

BASRAN BIN SAIN

Setiausaha Tanah Rizab,
Kampung Numbak,Manggatal.

LAMPIRAN

LAMPIRAN

LAMPIRAN
Sebahagian rumah penduduk asal Kampung Numbak,Manggatal.

Sebahagian rumah penduduk asal Kampung Numbak,Manggatal.

Yang di tulis oleh Rizal Limat 

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...