Isnin, 27 Februari 2023

ADUN Petagas umum keluar WARISAN, sertai Gagasan Rakyat

KELUAR WARISAN: Ahmad Sah (kanan) bersama kepimpinan dan ahli WARISAN Bahagian Putatan mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Awang Ahmad Sah Sahari mengumumkan keluar Parti Warisan (WARISAN) bersama hampir keseluruhan barisan kepimpinan dan ahli dari 90 cawangan parti berkenaan di Putatan.

Keputusan yang dibuat mantan Ketua Bahagian WARISAN Putatan yang juga Bendahari Agung WARISAN Pusat itu sekali gus disifatkan sebagai menjatuhkan WARISAN Bahagian Putatan.

Beliau bersama hampir kesemua kepimpinan dan ahli WARISAN peringkat bahagian dan cawangan Putatan turut memutuskan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). 

Pihaknya sebulat suara menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat.

"Saya memikirkan perkara ini selama tiga bulan selepas pilihan raya umum (PRU) yang lepas dan banyak membuat perbincangan dalam kalangan rakan kepimpinan parti.

"Keputusan dibuat tanpa sedikit keraguan kerana ini bukan saya sahaja keluar WARISAN dan boleh disifatkan keseluruhan pimpinan bahagian, Wanita, Wira, dan Wirawati sebulat suara menyokong perpindahan kepada Gagasan Rakyat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Sah turut menjelaskan mengenai pertemuannya bersama Hajiji sebelum ini yang berkaitan dengan perbincangan mengenai perancangan pembangunan untuk kawasan Petagas.

Beliau turut menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk memutuskan dari segi konteks kepimpinan Gagasan Rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas dan Tanjung Aru.

"Saya terbuka untuk bekerjasama dan berganding bahu untuk memastikan matlamat membantu rakyat dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun setengah lagi.

"Apa yang penting, mulai hari ini kita bekerja bersungguh-sungguh untuk pastikan rakyat dapat dibantu dan dibela," katanya.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, Ahmad Sah adalah ADUN dari WARISAN yang ke-10 mengumumkan keluar parti setakat ini.

Rizallimat 

wartawan lokasi 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...