Rabu, 11 Januari 2023

'Tindakan Hajiji belakangkan pemimpin 'tidak sebulu' wajar'

KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang didakwa membelakangkan cadangan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama pihak yang tidak menyokong kepemimpinannya sebagai sesuatu yang wajar.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata adalah mustahil untuk Hajiji memasukkan wakil dari parti yang jelas tidak menyukainya dan kerajaan pimpinannya dalam Kabinet baharu atas nama Kerajaan Perpaduan semata-mata.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak mungkin memasukkan Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) jika presiden masing-masing, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Peter Anthony tidak menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

"Dalam konteks ini tidak logiklah WARISAN dan KDM yang tidak menyokong Hajiji dimasukkan dalam barisan Kabinet pimpinannya," katanya ketika diminta mengulas mengenai rombakan Kabinet baharu Sabah, di sini, hari ini.

Kabinet baharu yang diumumkan Hajiji itu disifatkan sebagai membelakangkan cadangan Anwar mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri seperti didakwa Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

UMNO Sabah turut tidak mengiktiraf dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu, Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk James Ratib yang masing-masing dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Mengulas mengenai Kerajaan Perpaduan, Kuok Tiung berkata, Kabinet negeri yang baharu dibentuk hari ini sudah menggambarkan konsep berkenaan kerana memasukkan pelbagai parti termasuk Pakatan Harapan (PH).

"Kerajaan Sabah hari ini adalah Kerajaan Perpaduan, PH sudah dimasukkan dalam barisan Kabinet baharu itu. Kita perlu sedar dan ingat bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna kerajaan yang terbentuk daripada parti atau ahli politik yang bersetuju dan menyokong seseorang sebagai ketua seperti menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Jika hari ini WARISAN dan KDM menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri seperti mana mereka menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sudah pasti ada wakil mereka dalam barisan Kabinet, tapi mereka tidak menyokong.

"Maka, Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh memaksa atau menentukan siapa yang harus berada dalam Kabinet Sabah. Ia adalah prerogatif Hajiji menentukan siapa yang harus berada dalam barisan Kabinetnya seperti mana Anwar untuk Kabinet Kerajaan Perpaduan Persekutuan," katanya.

Mengulas lanjut, penganalisis politik Sabah iti berkata Hajiji menunjukkan bahawa beliau lebih pemurah dan inklusif berbanding Anwar dan Zahid kerana mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Menteri untuk UMNO Sabah.

"Kerajaan Perpaduan Anwar hanya memberikan jawatan timbalan menteri kepada UMNO Sabah walaupun UMNO Sabah menyumbang enam kerusi (20 peratus) daripada 30 kerusi BN di seluruh negara.

"Tiada satupun jawatan menteri penuh diberikan kepada UMNO Sabah dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan," katanya.

Mengenai kekuatan Kabinet baharu itu, beliau yakin kerajaan pimpinan Hajiji akan bertambah kukuh kerana terdiri daripada ADUN yang menyokong kepemimpinannya.
"Mereka yang mengumumkan menarik sokongan terhadap Hajiji secara automatiknya sudah meletak jawatan sebagai anggota Kabinet Hajiji serta menyebabkan mereka sendiri tidak layak dipertimbangkan sebagai anggota Kabinet," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...