Selasa, 8 November 2022

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P172 Kota Kinabalu, Yee Tsai Yiew, menyahut baik manifesto parti yang dilihat mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat.

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P172 Kota Kinabalu, Yee Tsai Yiew, menyahut baik manifesto parti yang digubal bertunjangkan 13 teras itu yang dilihat mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat. 

Menurut Yee, dalam konteks ini, terdapat tiga teras yang beliau ingin tumpukan, pertama  usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri Sabah daripada kerajaan Persekutuan berdasarkan Perlembangaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang harus diteruskan. 

“Masih banyak lagi penambahbaikan dalam konteks pembangunan dibawah semangat MA63 dan kita akan terus menuntut hak kita. Ini penting kerana Sabah sebagai salah satu rakan kongsi untuk pembentukan Malaysia dan kita akan tetap pertahankan keadilan dalam mendapatkan kemajuan dan pembangunan yang seimbang di Sabah,” katanya.

Manifesto GRS tersebut telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, selasa. 

Yee yang juga merupakan ketua informasi Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Api-Api ingin memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara.

“Bagi mengorak langkah untuk merealisasikan Kota Kinabalu Baharu, saya ingin memastikan kaum wanita dan belia mendapat peluang yang sama dalam bidang keusahawanan dan sebagai penggubal dasar. Sudah tiba masanya untuk wanita dan belia diberikan tempat yang sepatutnya dalam memberi nilai tambah kepada komuniti dan pembangunan negara," katanya. 

Dari segi penyampaian, Yee percaya dengan menggabungkan platform yang sesuai dan pendekatan beramah mesra dengan rakyat mampu memberikan informasi yang jelas dan menyeluruh kepada pengundi di kawasan parlimen Kota Kinabalu. 

“Penyampaian yang baik dan medium yang tepat harus digunakan supaya manifesto GRS dapat difahami oleh semua orang kerana jika rakyat tidak memahami apa yang kita ingin tunaikan, bagaimana mereka hendak memilih calon yang terbaik untuk mewakili mereka nanti.

“Manifesto ini haruslah disampaikan bukan hanya melalui walkabout dan beramah mesra dengan rakyat tapi juga melalui sosial media yang saya rasa merupakan platform terbaik untuk saya mendekati pengundi belia,” katanya selepas majlis pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) GRS.

Turut hadir pemimpin komponen GRS iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...