Isnin, 10 Oktober 2022

Dewan Rakyat bubar berkuat kuasa hari ini

KOTA KINABALU : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara tengah hari semalam.

Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan disiarkan secara langsung di televisyen jam 3 petang tadi.

Ismail Sabri sebelum itu memulakan pengumuman khas dengan mengimbas amanah dan tanggungjawab yang dipikul beliau sepanjang tempoh negara diselubungi tri-lema pandemik COVID-19.

Katanya, Kerajaan ini bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan yang teliti dalam semua perihal.

Tambahnya, ketika negara berhadapan krisis kesihatan misalnya, Kerajaan meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia di atas segala-galanya.

“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh Keluarga Malaysia, yang sentiasa memberikan sokongan ampuh dalam membantu Kerajaan membendung penularan COVID-19,” katanya.

Susulan pembubaran, Ismail Sabri mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Katanya, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...