Ahad, 27 Mac 2022

Pentadbiran negeri kini dikenali kerajaan GRS-BN

Pentadbiran negeri kini dikenali kerajaan GRS-BN
Mac 27, 2022
TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengalu-alukan cadangan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan kerajaan negeri dikenali Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).
Hajiji berkata, perkara ini sudah pun dipersetujui sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang mana GRS termasuklah BN walaupun parti itu tidak berada dalam GRS.
"Tetapi dalam kerajaan negeri, ianya berbeza kerana ia merupakan pakatan diantara GRS dan BN.
"Oleh itu, bermula hari ini, kita akan menggunakan Kerajaan Negeri GRS-BN," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Tamparuli di sini, hari ini.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri baru-baru ini, telah mencadangkan perkara itu selepas GRS secara rasminya didaftar sebagai sebuah gabungan parti politik yang terdiri daripada BERSATU, STAR, SAPP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sebelum pendaftaran, GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS. Komponen BN temasuklah UMNO, MCA, MIC dan PBRS.
Walaupun BN bukan sebahagian dalam GRS secara rasmi, Bung berkata parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan GRS sebagai gabungan politik yang menang pada PRN lalu.
Bung berkata, adalah tidak adil sekiranya BN tidak disebut sebahagian dalam kerajaan negeri.
"Kita menyokong penuh kepimpinan GRS dalam pentadbiran Sabah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...