Rabu, 9 Mac 2022

BUNG SOKONG PEMBUKAAN SEMULA SEMPADAN BAGI PEMULIHAN EKONOMI NEGARA

9 MAC 2022

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyokong tindakan kerajaan dalam pembukaan semula sempadan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Menurutnya, langkah ini akan memastikan aktiviti ekonomi negara kekal berdaya saing berterusan dalam sektor pelancongan yang boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

Katanya, Kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah dilaksanakan oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Indonesia (Bali) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal. 

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” 

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya di bangunan Parlimen pada Selasa.

Ismail dalam sidang media tersebut memberitahu sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April yang katanya adalah selari dengan perancangan memasuki fasa 'Peralihan Ke Endemik' bertujuan untuk merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga telah membangkitkan dalam ucapan perbahasan menjunjung Kasih Titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat pada Isnin yang meminta kerajaan khususnya kementerian yang terlibat supaya mengkaji perkara itu demi kebaikan untuk memulihkan ekonomi dan rakyat yang sekian lama terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.

Katanya, Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

Bagaimanapun, Bung turut mengingatkan agar pembukaan semula sempadan negara perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko, selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,"

Walau bagaimanapun, Bung menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...