Rabu, 23 Februari 2022

Perintah Berkurung kali ke-181 dilanjutkan sehingga 11 Mac depan

Perintah Berkurung kali ke-181 dilanjutkan sehingga 11 Mac depan
      IDRIS
KOTA KINABALU: Perintah berkurung kali ke-181 dilanjutkan selama dua minggu bermula 25 Februari sehingga 11 Mac depan mengikut Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata dengan berkuatkuasanya perintah itu, penduduk diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) antara jam 6 petang sehingga 6 pagi sepanjang tempoh ditetapkan.
“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung ini adalah bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau peranginan.
“Hasil maklumat risikan mendedahkan kumpulan militan Abu Sayyaf dan pihak yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan,” katanya.
Tambahnya pelanjutan ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di bahagian daratan kawasan ESSZONE.
“Dengan pelaksanaan perintah ini juga akan mampu memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.
Pelaksanaan perintah berkurung meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah

Sabah sedia dua tenaga kapal tambah tenaga elektrik di Sabah KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Ya...